Kejutan pagi Aidilfitri

Sambutan 1 Syawal sudah tidak ada ‘ummph’ atau kejutan lagi seperti dahulu kala, terutama ketika pengumuman tarikh hari raya, kata seorang teman. Katanya, ahli keluarga sudah tidak lagi ‘terpacak’ di hadapan televisyen menunggu Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengumumkan tarikh Aidilfitri seperti lazimnya berlaku pada 1960-an, 1970-an dan 1980-an.

“Beliaulah (penyimpan mohor) paling glamour dan satu-satunya manusia yang amat dinantikan oleh semua rakyat Malaysia pada malam pengumuman raya. Sekarang keadaan sudah tidak sama, kerana tarikh 1 Syawal macam sudah boleh diagak atau dikira, dah tahu lebih awal,” katanya.

Ya, sejak 1993, penentuan awal Ramadan dan Syawal menggunakan kaedah rukyah dan hisab iaitu penggunaan syarat nampak anak bulan bagi membuat justifikasi kenampakan anak bulan. Ada tiga amalan berbeza dalam menentukan awal bulan hijriah. Amalan itu ialah rukyah, iaitu melihat anak bulan semata-mata, hisab falak semata-mata serta rukyah dan hisab menggunakan kriteria imkanur rukyah, iaitu menggunakan hisab dalam menentukan kebolehnampakan anak bulan atau hilal.

Tunggu pengumuman rasmi

Apa yang diceritakan seorang teman tadi, memang benar. Saya sendiri teringat zaman kanak-kanak hingga remaja, terpacak di depan televisyen bersama ahli keluarga lain, menjelang hujung Ramadan menunggu pengumuman rasmi Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, lazimnya sebelum atau selepas waktu Maghrib.

Semua kerja dihentikan, memasak, mengemas, pasang langsir atau tengah makan sekali pun….kerana terpaku depan televisyen untuk seketika.

Andai diumumkan lusa hari raya, tiada apa yang berlaku kerana keesokan harinya puasa hari terakhir disambung dan ada banyak masa lagi untuk membeli-belah atau mencari barang keperluan raya yang belum sempat dibeli.

koleksi EMAS PG RAYA 2019

Tetapi, yang ‘ummph’ sekali ialah apabila Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengumumkan ‘esok raya’, sekali gus menyebabkan keadaan menjadi kelam-kabut. Kanak-kanak akan terus mandi, kerana tak sabar nak pakai baju baharu, lepas itu berjalan-jalan atau bermain mercun dan bunga api di halaman rumah.

Golongan wanita pula akan terus sibuk di dapur, membakar kuih-muih, ketupat, memasak daging dan ayam, selain mula mempersiapkan langsir baharu. Satu kampung akan meriah dengan dentuman mercun, percikan bunga api dan orang ramai lalu-lalang, kerana masing-masing ada urusan sama ada untuk ke kedai, jumpa kawan untuk bersembang atau sengaja bergembira di jalanan.

Takbir raya di masjid memeriahkan lagi suasana. Program televisyen pula tiba-tiba bertukar dengan pelbagai bentuk hiburan, diselang seli takbir raya.

Berhari raya dalam kapal terbang

Namun, disebabkan kejutan pengumuman ‘esok raya’ ini jugalah saya pernah berhari raya dalam kapal terbang pada pagi Aidilfitri. Tetapi saya bukan seperti lagu Musafir di Aidilfitri nyanyian S Jibeng, yang antara lain berbunyi: “Oh Tuhan Yang Maha Kaya; Hamba menangis di pagi raya; Aidilfitri hari bahgia; Tapi hamba dilanda derita”.

Bukan derita, cuma rasa syahdu mendengar takbir raya di awan biru, sambil dihidangkan lemang dan kuih muih oleh pramugari Penerbangan Malaysia (MAS). Ini gara-gara kerana terlalu yakin hari raya ‘jatuh lusa’, bukan ‘esok’. Saya yakin, ramai yang lain turut ‘terperangkap’ dengan pengumuman ‘raya esok’, termasuk penumpang MAS pagi itu kerana kapal terbang penuh, sebahagian besar orang Islam.

“Sekarang situasi itu sudah tiada,” kata seorang lagi teman. Katanya, semua sudah boleh dirancang sebaik mengetahui tarikh puasa bermula, diikuti waktu membeli-belah, waktu balik kampung dan sebagainya, kerana tarikh hari raya bagaikan sudah diketahui lebih awal, tanpa disangkal lagi.

“Tetapi saya tetap rindu masa dulu-dulu, saya suka kejutan, bukan seperti yang kita rancang. Keadaan begini mengajar kita untuk menukar pelan serta merta atau saat akhir apabila berlaku kejutan,” kata seorang lagi rakan sekerja.

Oleh Kadir Dikoh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *